Tempat Menarik di Saint Petersburg, Russia

with No Comments

Tempat Menarik di Saint Petersburg, Russia

Saint Petersburg (SPB) ialah bandar utama Russia yang kedua selepas Moscow. SPB ini dikenali dengan bandar imperial dan juga pusat kebudayaan Russia. SPB pernah menjadi ibu negara Empayar Russia sepanjang pemerintahan Tsar Russia bermula Tsar Peter The Great dan diakhiri dengan Tsar Nicholas II. Disebabkan ini, terdapat banyak istana di SPB sebagai kediaman keluarga diraja.

Untuk pengetahuan anda, Saint Petersburg telah ditukar nama sebanyak 3 kali sehinggalah kembali pada nama asalnya semula. Bermula dengan Saint Petersburg, ditukar ke Petrograd sewaktu perang dunia pertama kerana berbunyi Jerman, dan kemudiannya ditukar kepada Leningrad sebagai memperingati Lenin, sehinggalah pada tahun 1991, nama asalnya dikembalikan semula.

Jadi, kami yakin Saint Petersburg akan menjadi salah satu destinasi wajib anda apabila melawat Russia. Untuk memudahkan anda daripada memikirkan tempat-tempat yang wajib dilawati di SPB, kami kongsikan beberapa senarai yang kami rasakan sangat berbaloi di SPB.

1. State Hermitage Museum & Winter palace

St Petersburg Hermitage at dusk
St Petersburg Hermitage at dusk

Muzium Hermitage dan Winter Palace adalah muzium kedua terbesar di dunia dengan 3 juta bahan pameran. Bangunan istana ini merupakan antara mercu tanda bandar Saint Petersburg dan tak lengkap sekiranya anda tak masuk melawat.

Bayaran masuk untuk pelancong asing ialah 700 Ruble bagi dewasa dan 400 Ruble untuk kanak-kanak. Sekiranya tarikh lawatan anda ke Russia fleksibel, cuba susun tarikh lawatan ke Saint Petersburg pada minggu ke-3 bulanan. Setiap khamis minggu ketiga, bayaran masuk adalah percuma untuk semua pelawat.

2. St Isaac cathedral

St Isaac Cathedral in winter adalah tempat menarik St Petersburg
St Isaac Cathedral pada musim sejuk

St Isaac Cathedral adalah antara katedral ortodoks terbesar didunia. Kubah emas katedral yang elegan beserta tiang-tiang sebesar 6 pemeluk ini akan membuatkan anda kagum dengan pembinaannya yang mengambil masa selama 40 tahun untuk disiapkan.

Sewaktu perang dunia kedua dan sepanjang pengepungan Leningrad, katedral ini dijadikan sebagai titik rujukan untuk pengebom udara Jerman. Disebabkan itu, bangunan ini terselamat daripada kemusnahan sepanjang perang dunia.

3. Peter & Paul Fortress

Peter & Paul Fortress from inside
Dari dalam Peter & Paul Fortress

Pembinaan kubu Peter dan Paul ini diarahkan oleh Raja Peter The Great sebagai pertahanan daripada serangan dari Sweden pada zaman Perang Utara. Kubu ini merupakan binaan pertama apabila Saint Petersburg diasaskan.

Namun, kubu ini tidak pernah berfungsi dalam gerakan ketenteraan. Sebaliknya digunakan sebagai penjara tahanan politik. Kini kubu ini dijadikan muzium .

Pada musim panas, kawasan luar kubu ini dikunjungi oleh ramai pelawat untuk berkelah dan berjemur matahari. Manakala pada musim sejuk, ada yang melakukan kerja ‘gila’ dengan berenang dalam lubang ais sungai Neva ini.

4. Church of the Savior on Spilled Blood

gambar ihsan viator

Gereja ini dibina sebagai memperingati peristiwa Raja Alexander II yang cedera parah diserang oleh kospirator anarki. Raja Alexander II yang parah kemudiannya dibawa kembali ke Winter Palace, dimana beliau menghembuskan nafas terakhir beberapa jam kemudian.

Raja Alexander III mengarahkan pembinaan gereja ini yang dibiayai oleh keluarga diraja sendiri. Seni bina gereja ini menyerupai St Basil’s Cathedral di Moscow. Tidak hairan, ada yang menyangka bangunan ini sebagai St Basil’s Cathedral.

5. Terusan St Petersburg

Canals in St Petersburg

Kalau Melaka pernah dikenali dengan jolokon ‘Venice of the East’, Saint Petersburg pula dikenali dengan jolokan ‘Venice of the North’. Fungsi St Petersburg sebagai antara pelabuhan penting di hemisfera utara, dan kehadiran terusan yang banyak sekitarnya sememangnya menyerupai Venice di Italy.

Tempah lawatan bot untuk menelusuri terusan-terusan sekitar St Petersburg dan teroka bandar ini dari sudut pandang yang lain.

6. Petergof Palace

Fountain at Petergof Palace
Pancutan Air di Petergof Palace

Petergof dikenali dengan nama ‘Versailles of Russia’ disebabkan oleh ilham pembinaan istana ini selepas lawatan Peter the great ke Versailles, Perancis. Petergof palace adalah residen musim panas keluarga diraja Russia.

Di sini, terkenal dengan Lower Garden yang dilengkapi dengan binaan pancutan air. Fountain ini akan ditutup pada musim sejuk sehingga penghujung Mei.

Anda boleh ke Petergof Palace ini dengan kereta ataupun anda boleh mencuba hydrofoil yang berlepas dari Sungai Neva Saint Petersburg.

7. Tsarkoye Selo

Catherine's Palace
Catherine’s Palace

Tsarkoye selo adalah sebahagian daripada pekan Pushkin yang terletak 25km daripada bandar St Petersburg. Tsarkoye Selo bermaksud, perkampungan diraja (Tsar).

Disini anda boleh melawat Catherine Palace dan bilik Amber, Catherine park, Alexander park dan Alexander palace. Akses ke Alexander park adalah percuma manakala Catherine palace dan park mempunyai yuran masuk.

Walaubagaimanapun, adalah lebih baik anda pergi bersama pemandu pelancong untuk melawat Catherine Palace kerana jumlah kemasukan pelawat persendirian adalah terhad.

8. Nevsky Prospect

Kazan Cathedral at night
Kazan Cathedral

Nevsky prospect adalah jalan utama dan nadi pusat bandar St Petersburg. Sepanjang jalan ini, anda boleh melawat Kazan Cathedral, Church of the Savior on Spilled Blood, pusat membeli-belah tertua dan terbesar di SPB, Gostiny Dvor, Muzium Russia, stesen keretapi Moskovskiy, dan banyak kafe untuk anda rehat sebelum meneruskan misi meneroka bandar kebudayaan ini.

Jangan lupa untuk berjalan sekitar laluan ini pada waktu malam dan lihat nightlife di St Petersburg.

9. Bronze Horseman

Bronze Horseman at St Petersburg
Bronze Horseman – Peter The Great

Tugu bronze horseman ini adalah sebuah tugu Raja Peter The Great yang ditujukan oleh Maharani Catherine The Great. Tugu ini menggambarkan Raja Peter dan kuda yang ditungganginya di atas sebuah tebing, dan kudanya memijak seekor ular, iaitu simbolik kepada musuh Russia.

Legenda mengatakan, selagi mana tugu ini berdiri megah, selagi itu, tiada musuh yang dapat menawan Saint Petersburg. Sepanjang pengepungan 900 hari Leningrad sewaktu perang dunia kedua, tugu ini dilindungi oleh guni pasir dan ditutup dengan kayu. Maka sehingga hari ini, tugu ini terselamat daripada sebarang kerosakan perang.

10. Jambatan angkat

opening of the bridge
Palace Bridge berlatabelakang Peter & Paul Fortress

Sebagai ‘Venice of the North’, St Petersburg mempunyai hampir 350 buah jambatan yang menyeberangi sungai dan terusan sekeliling bandar. Antaranya adalah beberapa daripada jambatan angkat yang terkenal.

Setiap malam selain daripada musim sejuk, jambatan angkat ini akan dibuka untuk memberi laluan kepada kapal-kapal yang merentas antara Tasik Ladoga dan Teluk Finland.

Untuk efek yang lebih dramatik, tempah bot menelusuri sungai Neva ini pada kemuncak musim panas, iaitu sewaktu fenomena White Night berlaku di St Petersburg.


Konklusi

Kami secara peribadi sarankan anda untuk meluangkan masa di Saint Petersburg sekurang-kurangnya 2-3 malam. Ini baru senarai tempat menarik di bandar ini, belum lagi tempat menarik sekitar Saint Petersburg. Sekiranya anda mempunyai masa yang lebih di Russia, jadikan St Petersburg sebagai base untuk anda buat lawatan seharian ke beberapa tempat di luar kawasan St Petersburg.

Tempat yang patut dilawati di Russia